IKHLAS..


Salah satu dari 'Hiasan Hati' (sifat-sifat yang terpuji) adalah "IKHLAS"

"IKHLAS" ertinya melakukan sesuatu pekerjaan yang baik dengan tujuan semata-mata hendak mendampingkan diri kepada yang empunya alam ini (Allah). Sebesar2 kerugian bagi mereka yang tidak mengikhlaskan pekerjaannya penat dan sia-sia sahajalah segala amal pekerjaan yang dilakukannya, sekiranya didapati juga tujuannya untuk mendapatkan sesuatu di dalam dunia ini.

Dan keikhlasan itu juga dapat dirasakan dari seketul daging didalam tubuh jasad anak Adam dan itu adalah kalbu (hati).

"Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati)." maksud Hadis.

Tentang ikhlas itu sendiri. Menumpukan niat bagi setiap ibadat atau kerja yang dilakukan semata-mata kepada Allah atau kerana Allah dan membersihkan hati dari dosa ria' , ujub atau inginkan kepujian manusia. Dan ini adalah bagi orang-orang yang beriman.

Ketahuilah segala yang ada didalam dunia ini akan hancur, didalam Surah An-Nahl ayat 96 Allah Swt berfirman, "Apa yang ada disisi mu akan binasa dan apa yang ada disisi Allah akan kekal".

Seperti keterangan yang pernah saya terima dari seorang sahabat yang menjelaskan "Memang menjadi hukum alam sesuatu yang TIDAK hak/ikhlas akan hancur bila tiba waktunya."

Dengan sebab itu Allah memerintahkan bagi hamba-hamba yang disayangiNya supaya mengikhlaskan hati dalam melakukan apa sahaja amal ibadat dialam dunia ini. Hamba yang bijak lagi bertuah sahaja yang dapat melakukan keikhlasan dengan bersungguh-sungguh.

Berkata Sheikh Junaid Al-Bagdadi Rahimallahi Taala

"Allah Swt ada mempunyai hamba-hamba yang berakal, apabila sudah berakal mereka itu beramal. Apabila sudah beramal mereka itu berikhlas. Maka ikhlas itulah yang menarik segala pintu kebajikan semua sekali.

Berkata Saidina Mu'adz RA. "Hendaklah engkau ikhlas pada ugama nescaya memada engkau dengan amal yang sedikit."

Firman Allah didalam Surah Al-Bayyinah, ayat 5 maksudhya: "Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepadanya."

Firman Allah didalam hadis Qudsi yg bermaksud:

"Bermula ikhlas itu satu rahsia daripada rahsia aku, aku taruhkan ia dihati hamba yang aku kasihi daripada hamba-hamba ku."

Dan ikhlas itu mempunyai tiga darjat

  • Darjat yg pertama: Bahawa mengerjakan oleh hamba akan amal ibadat semata-mata menjunjung perintah Allah Swt.
  • Darjat yg kedua: Iaitu bahawa mengerjakan ia akan amal ibadat kerana menuntut pahala dan kerana lari dari siksa.
  • Darjat yg ketiga: Ikhlas yang lebih rendah iaitu bahawa mengerjakan ia akan amal ibadat supaya memuliakan Allah Swt akan dia didalam dunia atau supaya selamat dia daripada kebinasaan dunia; misalnya membaca ia Surah An-Nas supaya dipelihara akan dia daripada waswas syaitan.

Selain daripada tiga darjat ini tiada dinamakan ikhlas bahkan adalah ia riya'.

Ringkasnya IKHLAS itu ialah roh segala pekerjaan. Segala sesuatu yang dilakukan dengan keikhlasan akan menjadi benteng kapada keutuhan yang berterusan dan akan membuahkan hasil yang tenang, bahagia, syukur, bersungguh-sungguh, aman, damai, tenteram, tidak jemu, nikmat dan akan dapat dirasakan kelazatan dan kemanisannya dengan keikhlasan yang dicurahkan


PERJALANAN MENUJU ALLAH


Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi peluang untuk menekan punat-punat keyboard menaip sesuatu untuk tatapan bersama pada pagi ini. Moga-moga setiap entri yang dipostkan memberi manfaat yang baik untuk semua serta dikira sebagai pahala amalan kebajikan untuk diri yang serba dhoif ini. Sebenarnya peluang melakukan kebaikan sentiasa terbentang luas di hadapan kita. Namun kadang-kadang ada sahaja halangan onak duri yang melintang dan menghalang perjalanan dalam melaksanakan kebaikan tersebut. Matlamatnya adalah Allah. Segalanya adalah keranaNya.

قل إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي للله رب العالمين
"Katakanlah (Muhammad) Sesungguhnya solatku, ibadahku , hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan sekalian alam" -surah Al-An'am ayat 162

Sepatutnya kita perlu sentiasa insaf dan malu dengan Allah subhanahu wataala kerana lafaz inilah yang selalu terpacul dari bibir mulut kita setiap kali menunaikan kewajipan solat lima waktu sehari semalam, sedangkan realitinya kita tidak pernah bersedia dan rasa bertanggungjawab untuk menjadikan solat kita semata-mata untukNya. Segala ibadah yang kita lakukan adalah semata-mata untukNya. Seluruh hidup dan mati kita adalah semata-mata untukNya jua. Apakah kita sanggup berdusta kepadaNya?! Apakah kita sanggup bermuka-muka kepadaNya?! Tidakkah hipokrit namanya perbuatan tersebut?! Lain ucapannya, lain pula gerak langkah dan perbuatannya. Sedarlah kita sekarang bahawa selama ini kita sering kali medustaiNya sedangkan Dia pasti Maha Mengetahui dan Maha Melihat setiap apa yang dilakukan oleh hamba-hambaNya di atas muka Bumi ini.

Kita juga sebenarnya malas untuk berfikir menggunakan akal yang waras kurniaan Tuhan yang Esa tentang hikmah setiap suatu ciptaan Allah, hikmah setiap ujian dan dugaan menimpa diri serta hikmah di sebalik setiap kejadian. Pastinya husnu zon atau bersangka baik kepadaNya akan menyelamatkan kita dari menjadi kufur atas setiap mehnah dah tribulasi yang menimpa diri. Allah tidak akan mensiakan-siakan hamba-hambaNya yang betul-betul beriman kepadaNya.

أم حسبتم أن تدخل الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأساء والضراء وزلزلو حتى يقول الرسول والذين ءامنوا معه متى نصر الله الا إن نصر الله قريب
"Adakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai cubaan) sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata :"bilakah datang pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat." Surah Al-Baqarah, ayat 214

Cubaan dan dugaaan sebenarnya satu pertukaran yang mesti untuk mengecapi sesuatu yang cukup berharga dan bernilai kelak iaitu keabadian di dalam syurga Allah. Sebesar manalah sangat cubaan dan ujian yang ditimpakan ke atas kita pada hari ini berbanding dugaan dan ujian yang ditimpakan ke atas KekasihNya yang tercinta Rasulullah salallahu alaihi wassalam. Apakah kita yakin bahawa kita ini tergolong antara golongan yang soleh yang merupakan kekasih Allah?! Kalau ujian yang menimpa Kekasih Allah sedemikian rupa, apatah lagi kita yang belum pasti menjadi kekasihNya kerana sering melakukan perbuatan keji dan mungkar. Pasti belum pernah kita merasa betapa hinanya dikeji dan dipukul semahunya oleh musuh-musuh Allah. Juga pasti kita belum pernah mengalirkan darah ketika berada di jalan dakwah menyebarkan Islam. Sungguh kerdil dan dhoif sekali diri jika hendak dibandingkan dengan ujian dan dugaan yang menimpa para kekasih Allah tersebut!

Jalan dakwah bukan merupakan jalan yang sentiasa menjanjikan hamparan permaidani merah. Ia penuh dengan onak duri dan caci maki yang perlu dihadapi oleh seorang yang bergelar da'ie untuk mengapai matlamat untuk bertemu Ilahi di sana kelak. Orang yang pernah merasa sahaja yang mengetahui betapa nikmatnya jalan ini kerana matlamatnya bukanlah sebarang matlamat. Matlamat untuk bertemuNya adalah setinggi -tinggi darjat seorang mukmin yang sejati. Oleh itu kuberpesan pada diri dan para pejuang agama Allah, janganlah berputus asa dalam mencapai matlamat ini kerana inilah sebenarnya PERJALANAN MENUJU ALLAH.....



Hari Esok Untuk Islam II



Kemenangan Islam Menurut Al Quran.


Kemenangan Islam terhadap agama-agama lain.


" Dia yang mengutuskan RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar(agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai" (At Taubah: 33)

Mukmin sebagai khalifah di muka bumi .


"Dan Allah telah menjanjikan bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan soleh, bahawa Allah akan mengangkat mereka menjadi khalifah di muka bumi, sebagaimana orang-orang dahulu telah menjadi khalifah, dan Allah akan menetapkan agama mereka(Islam) yang diredhainya untuk mereka, dan akan menggantikan ketakutan mereka dengan keamanan. Mereka menyembah Aku dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu juapun. Barang siapa yang kafir sesudah itu, maka mereka itulah orang yang fasik." (An-Nur: 55)

Pertolongan Allah kepada Mukminin .

"Sehinggalah rasul-rasul itu telah berputus asa, dan mereka menyangka bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada mereka pertolongan kami, lalu diselamatkan orang-orang yang kami kehendaki. Dan tidak dapat ditolak siksa kami daripada orang-orang yang berdosa." (Yusuf: 110)

Hancurnya perancangan dan tipu daya musuh


"Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya mereka dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya."( Al Anfal: 30)

Kemenangan Islam menurut As Sunnah


Tersebarnya Islam di seluruh alam.


Diriwayatkan oleh Tamim Ad Dari, berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya, urusan ini (Islam) akan sampai ke mana sahaja uang sampai oleh malam dan siang. Allah tidak akan meninggalkan sebuah rumahpun daripada penduduk dusun dan kampung melainkan Allah akan memasukkan ke dalamnya agama ini, sama ada memuliakan orang yang mulia ataupun denga menghina orang yang hina, iaitu Allah muliakan dengan Islam dan menghinakan dengan kekufuran. (Riwayat Ahmad)

Kekuasaan Islam di Timur dan Barat


Daripada Thauban daripada Nabi s.a.w bersabda: " Sesungguhnya Allah telah melipatkan bumi bagiku (menghimpunkan dan mengumpulkannya) lalu akau dapat melihat timur dan baratnya. Sesungguhnya kekuasaan umatku akan sampai ke semua tempat bumi yang dilipatkan bagiku.." (Riwayat Muslim)

Kemenangan Muslimin terhadap Yahudi


Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Tidak berlaku kiamat sehingga muslimin memerangi Yahudi. Mereka dibunuh oleh muslimin sehingga orang yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pokok. Batu dan pokok itu berkata: Wahai muslim, wahai hamba Allah, Ini dia yahudi berada dibelakangku. Kemarilah dan bunuhlah dia. Melainkan pokok gharqad. Sesungguhnya ia adalah daripada pokok Yahudi" (Riwayat Muslim)

Kembalinya khalifah di atas manhaj Nubuwwah


Daripada Huzaifah, bahawa Nabi s.a.w bersabda: Berlakunya zaman kenabian di kalangan kamu sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah untuk belaku. Kemudian Allah mengangkatkannya (menghilangkannya) ketika mana dia mengkehendaki. Kemudian berlaku pula khilafah di atas manhaj kenabian. Maka berlangsunglah ia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah untuk berlaku. Kemudian Allah mengangkat ketika mana Dia mengkehendakinya. Kemudian berlakunya pula pemerintahan raja yang 'menggigit' (zalim). Maka berlakula ia sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian Allah megangkatkannya. Kemudian berlaku pula pemerintahan raja 'paksaan' (kuku besi). Maka berlakulah ia sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian Allah mengangkatkannya ketika mana dia mengkehendaki. Kemudian berlaku pula khilafah di atas manhaj kenabiaan.

Hari Esok Untuk Islam I

Setelah kejatuhan empayar Islam Othmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya yang tidak mampu melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan Islam. Pukulan hebat dan penangkapan serta penyembelihan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun cuba untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh yang begitu hebat.

Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya al fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka bahawa kekufuran beleluasa, kejahatan menguasai alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.

Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul mentadbir alam ini walaupun orang kafir cuba untuk menghapuskannya.

Firman Allah Taala:

" Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang kafir tidak menyukai" (at Taubah: 32)

Sebenarnya sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap yang sepatutnya dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari nanti.

Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah s.a.w, Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan menghadiahkan kalung Kisra raja Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.

Begitu juga semasa di dalam peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali Parit. Rasulullah telah menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi. Sedangkan pada ketika ini umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah s.a.w. mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.

Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.

Fajar menyinsing

Tanda-tanda awal telah kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali bersinar tidak lama lagi. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula bersinar di seluruh pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali kepercayaan mereka terhadap Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini dengan menyebarkan dakyah bahawa golongan-golongan ini merupakan 'terrorist' dan 'fundamentalist'.

Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan komunis yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami keruntuhan moral yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.

Ini merupakan bibit-bibit awal bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam

telah mula melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad. Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini.

Kekuatan yang dimiliki oleh Muslimin.

Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam. Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih' (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.

Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu menggugat kekuatan musuh.

Pertama: Kekuatan kuantiti.

Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt:

"Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak…"

(Al A'araf: 86).

Jamaluddin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India: "Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris."

Kedua: Hasil Bumi.

Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.

Ketiga: Manhaj Rabbani.

Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini.

Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.

Sikap kita

Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.

Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.

Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.

Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala nanti.

Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah" Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omarpun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".

Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini. Wallahu A'alam.

 

©2009 ~ibnuahmad addumyati~ | by TNB