Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi peluang untuk menekan punat-punat keyboard menaip sesuatu untuk tatapan bersama pada pagi ini. Moga-moga setiap entri yang dipostkan memberi manfaat yang baik untuk semua serta dikira sebagai pahala amalan kebajikan untuk diri yang serba dhoif ini. Sebenarnya peluang melakukan kebaikan sentiasa terbentang luas di hadapan kita. Namun kadang-kadang ada sahaja halangan onak duri yang melintang dan menghalang perjalanan dalam melaksanakan kebaikan tersebut. Matlamatnya adalah Allah. Segalanya adalah keranaNya.
Sepatutnya kita perlu sentiasa insaf dan malu dengan Allah subhanahu wataala kerana lafaz inilah yang selalu terpacul dari bibir mulut kita setiap kali menunaikan kewajipan solat lima waktu sehari semalam, sedangkan realitinya kita tidak pernah bersedia dan rasa bertanggungjawab untuk menjadikan solat kita semata-mata untukNya. Segala ibadah yang kita lakukan adalah semata-mata untukNya. Seluruh hidup dan mati kita adalah semata-mata untukNya jua. Apakah kita sanggup berdusta kepadaNya?! Apakah kita sanggup bermuka-muka kepadaNya?! Tidakkah hipokrit namanya perbuatan tersebut?! Lain ucapannya, lain pula gerak langkah dan perbuatannya. Sedarlah kita sekarang bahawa selama ini kita sering kali medustaiNya sedangkan Dia pasti Maha Mengetahui dan Maha Melihat setiap apa yang dilakukan oleh hamba-hambaNya di atas muka Bumi ini.
Kita juga sebenarnya malas untuk berfikir menggunakan akal yang waras kurniaan Tuhan yang Esa tentang hikmah setiap suatu ciptaan Allah, hikmah setiap ujian dan dugaan menimpa diri serta hikmah di sebalik setiap kejadian. Pastinya husnu zon atau bersangka baik kepadaNya akan menyelamatkan kita dari menjadi kufur atas setiap mehnah dah tribulasi yang menimpa diri. Allah tidak akan mensiakan-siakan hamba-hambaNya yang betul-betul beriman kepadaNya.
Cubaan dan dugaaan sebenarnya satu pertukaran yang mesti untuk mengecapi sesuatu yang cukup berharga dan bernilai kelak iaitu keabadian di dalam syurga Allah. Sebesar manalah sangat cubaan dan ujian yang ditimpakan ke atas kita pada hari ini berbanding dugaan dan ujian yang ditimpakan ke atas KekasihNya yang tercinta Rasulullah salallahu alaihi wassalam. Apakah kita yakin bahawa kita ini tergolong antara golongan yang soleh yang merupakan kekasih Allah?! Kalau ujian yang menimpa Kekasih Allah sedemikian rupa, apatah lagi kita yang belum pasti menjadi kekasihNya kerana sering melakukan perbuatan keji dan mungkar. Pasti belum pernah kita merasa betapa hinanya dikeji dan dipukul semahunya oleh musuh-musuh Allah. Juga pasti kita belum pernah mengalirkan darah ketika berada di jalan dakwah menyebarkan Islam. Sungguh kerdil dan dhoif sekali diri jika hendak dibandingkan dengan ujian dan dugaan yang menimpa para kekasih Allah tersebut!
Jalan dakwah bukan merupakan jalan yang sentiasa menjanjikan hamparan permaidani merah. Ia penuh dengan onak duri dan caci maki yang perlu dihadapi oleh seorang yang bergelar da'ie untuk mengapai matlamat untuk bertemu Ilahi di sana kelak. Orang yang pernah merasa sahaja yang mengetahui betapa nikmatnya jalan ini kerana matlamatnya bukanlah sebarang matlamat. Matlamat untuk bertemuNya adalah setinggi -tinggi darjat seorang mukmin yang sejati. Oleh itu kuberpesan pada diri dan para pejuang agama Allah, janganlah berputus asa dalam mencapai matlamat ini kerana inilah sebenarnya PERJALANAN MENUJU ALLAH.....
0 comments:
Post a Comment