PERUTUSAN KHAS
PRESIDEN PAS SEMPENA HARI KEMERDEKAAN KE-52


Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-52 Kemerdekaan Negara, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) suka saya mengulangi bahawa pemimpin-pemimpin ulung PAS adalah golongan yang pertama melibatkan diri dengan perjuangan kemerdekaan negara ini.

Mereka menjadi mangsa kezaliman di zaman penjajah. Ketika itu, banyak di kalangan pemimpin negara kita (Umno) bersekongkol dengan penjajah menjadi pegawai-pegawai mereka.

Namun kita tidak menyerah kalah. Kita adalah yang pertama memperjuangkan kemerdekaan (yang) merupakan mata rantai perjuangan sejak kedatangan Islam yang membawa kemerdekaan sebenar.

Kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Itulah makna kemerdekaan yang sebenar.

Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama menentang jahiliah Arab. Bukan jahiliah bangsa lain sehingga berhijrah ke Madinah mendirikan Negara Islam.

Sebuah Negara yang berlandaskan kepada pengabdian diri kepada Allah Ta'ala yang membawa keadilan mutlak kepada seluruh manusia.

Bukan sahaja kepada penganut Islam bahkan, juga kepada penganut-penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Selepas itu, Nabi kita Muhamad SAW datang ke Mekah untuk membebaskan Mekah daripada kuasa jahiliah.

Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga Nabi SAW. Sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar.

Dan 'obor' kemerdekaan inilah yang dibawa oleh Rubi'e bin Amer kepada Rostum iaitu panglima tentera Parsi dengan kenyataan Rub'ie yang terkenal.

Kata Rubi'e: "Kami mengajak sesiapa yang mahu kepada satu gagasan dasar dan konsep daripada mengabdikan diri kepada manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah. Daripada kezaliman ajaran pelbagai agama, teori dan pendekatan ciptaan manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT. Daripada dunia yang sempit kepada wawasan dunia sehingga hari akhirat".

Itulah kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW. Kemerdekaan inilah yang didokong oleh perjuangan Islam termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT.

Walaupun, negara kita telah dikatakan mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun tetapi warisan penjajah masih lagi wujud. Bertapak dan berakal umbi di dalam masyarakat kita.

Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai.

PAS akan terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya atau pun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Untuk mengajak mereka membebaskan diri daripada itu semua kepada Islam yang membawa kepada kemerdekaan yang sebenar dan itulah dasar serta konsep kemerdekaan yang kita bawa selama ini.

Sekian, Wassalam

Ramadhan & Merdeka dalam kemaksiatan..peranan Azhari di mana?!

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Ilahi kerana masih diberi ruang dan peluang untuk meneruskan madrasah ramadhan pada kali ini. Pejam celik pejam celik, rupanya hari ni dah masuk hari yang ke sepuluh umat Islam di seluruh dunia khususnya di bumi Mesir ni berpuasa. Rasa macam baru je semalam start puasa. Maknanya sedar ataupon tidak sebenarnya kita dah mula meninggalkan satu peringkat dari madrasah Ramadhan dan melangkah ke peringkat yang seterusnya. Berdasarkan sabda nabi Muhammad salalahu alaihi wassalam :

أوله الرحمة وأوسطه مغفرة وآخره عتق من النار
yang bermaksud: Permulaannya (bulan Ramadhan) adalah rahmat, pertengahannya pengampunan dan pengakhirannya merdeka dari api neraka.
Jelaslah kepada kita dalam hadis tersebut menyebut bahawa di dalam madrasah bulan Ramadhan yang penuh barakah ini terdapat 3 peringkat yang akan diperolehi oleh mereka yang betul-betul melaksanakan amal ibadah dengan penuh keimanan dan kesungguhan. 3 peringkat ini akan diperolehi secara berperingkat-peringkat mengikut tahap keimanan dan ketaqwaan kita. Maka perlu kepada kesungguhan dan istiqamah dalam melaksanakan ibadah untuk memperoleh pelepasan ketiga-tiga peringkat tersebut. Alangkah ruginya jika kita masih tidak merasakan akan berlalunya bulan Ramadhan sedikit demi sedikit tanpa amalan yang bisa membantu kita mencapai roh keimanan dalam diri.

Bertepatan dengan 10 Ramadhan ini juga, merupakan hari kemerdekaan Malaysia yang ke 52 iaitu bersamaan 31 Ogos 2009. Mujurlah Sheikh Nuruddin ada menyebut dalam kelas tafaqquh fiddinnya semalam berkaitan perjuangan para pejuang kemerdekaan sekaligus menghadiahkan mereka sekalung alfatihah. Kalau tidak hampir terlupa ana akan tarikh keramat bagi rakyat Malaysia ini. Dengarnya sambutan hari kemerdekaan di tanahair akan berlangsung dalam kesederhanaan kerana bimbang penularan wabak H1N1 dan bertepatan pula dengan kehadiran bulan Ramdhan. Harapannya biarlah sambutan bersederhana sampai bila-bila pun tidak mengapa asalkan tidak timbul di sana pelbagai gejala sosial setiap kali menjelangnya ambang merdeka. Saban tahun kita akan diberitakan dengan pelbagai isu gejala sosial dan kes jenayah pada keesokan harinya. Rogol, mencuri, berzina, merempit, minum arak, berpesta sampai ke pagi dan sebagainya. Realitinya seribu satu kemaksiatan yang terkandung dalam malam yang kononnya penuh dengan semangat kemerdekaan dan patriotisme. Buktinya lihat sendirilah di tempat berlangsungnya majlis gilang gemilang itu akan dipenuhi dengan botol-botol arak, kondom-kondom dan puluhan mat rempit dan gadis-gadis yang ditahan oleh pihak berkuasa atas bermacam-macam kesalahan yang mereka lakukan. Rata-ratanya pastilah tidak lain tidak bukan adalah dari saudara seagama darah daging kita sendiri.

Apa ertinya kemerdekaan andai inilah realiti yang berlaku di tanahair saban tahun? Tidakkah kita pernah terfikir sampai bilakah akan berterusan kemaksiatan ini andai diri kita sendiri yang akan pulang ke bumi Malaysia tercinta berazam akan merubahnya. Oh, besar sungguh tanggungjawab yang akan tergalas di atas batang tubuh kita semua yang bergelar Azhari dan Azhariah. Ini kita baru berbicara berkaitan dengan sambutan kemerdekaan. Belum lagi berbicara berkaitan dengan jutaan kemaksiatan dan kelalaian yang lainnya yang pasti membuatkan kita mula tidak senang duduk. Bagi mereka yang tahu berfikirlah.Bagi mereka yang tidak mahu berfikir akan terus meneruskan kehidupan seperti biasa bahkan mungkin sahaja menempah tiket pulang ke Malaysia untuk duduk bersama-sama dengan mereka yang durjana itu ataupun memilih untuk menjadi syaitan bisu akhirnya.

Sudahnya kita akan tersepit dengan kalimah merdeka yang kadang-kadang kita sendiri pon tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan erti kemerdekaan. Apa eritnya merdeka kalau hukum hakam dan perintah Allah dan RasulNya ditolak mentah-mentah sedangkan hukum hakam penjajah masih diagung-agungkan. Apa ertinya kalau pemikiran kita masih terpalit dengan pemikiran penjajah sedangkan fikrah Islam langsung ditolak dan dinista semahunya. Apa ertinya merdeka kalau cara pemakaian kita sendiri tidak melambangkan sorang muslim yang merdeka sedangkan cara pemakaian dan cara hidup orang kafir masih menjadi ikutan siang dan malam. Teramatlah malang jika kita masih tidak dapat menghayati dan meneliti sirah perjalanan hidup Rasulullah seorang pejuang kemerdekaan yang paling agung di atas muka bumi ini. Baginda bukan sahaja memperjuangkan untuk penyebaran Islam semata-mata, bahkan tugas yang lebih berat ketika itu adalah untuk memperjuangkan kemerdekaan ummat manusia dari belenggu kejahilan dan penuh dengan hawa nafsu yang tidak berlandaskan yang hak. Terang lagi bersuluh segala macam bencana dan bala yang menimpa ummat manusia ketika ini berlaku kerana berlambaknya kemaksiatan dan kejahilan yang wujud tanpa ada rasa tanggungjawab dari kalangan Azhari sendiri.

Ayuhlah para Azhari! Jangan leka lagi dengan segala macam keindahan dan kebahagian duniawi semata. Jadikanlah madrasah Ramadhan ini tempat untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai bekalan rohani dan jasmani serta bersabarlah menghadapi segala macam mehnah dan tribulasi yang bakal menimpa. Bangkitlah segera untuk menyusun strategi dan penuhkan ilmu di dada agar pulangnya kita ke tanahair bukan hanya bergelar seorang Azhari, bahkan bergelar seorang pejuang kemerdekaan..merdeka dari semua kemaksiatan. Merdeka dari semua kemungkaran. Takbir!!! Allahu Akbar!!!
Sabda Nabi Sallalahu Alaihi Wassalam :
هو شهر الصبر والصبر ثوابه الجنة
maksudnya : (Bulan Ramadhan) ialah bulan kesabaran, dan ganjaran kesabaran ialah syurga.

Marhaban Ya Ramadhan!!!

Selesai bersahur untuk hari pertama berpuasa (sebenarnya sudah masuk tahun keempat berpuasa di Bumi Anbia' ni)telah memberi peluang untuk aku menghadap laptop dan mula menaip sedikit sebanyak tentang beberapa perkara yang dapat dikongsi bersama dalam kehidupanku sekarang. Lagipun sudah agak lama aku tidak mengupdate blog ni Walaupun sudah bergelar 'mantan' sekarang, namun jadual harianku tetap juga padat dengan pelbagai program yang kurasakan tidak kurang pentingnya. Tapi bezanya program-program kali ini tidak la terikat dengan pelbagai prosuder-prosuder sepertimana untuk mengadakan program di sebuah dewan perwakilan mahasiswa lagi. Perlu kepada kertas kerja, mesyuarat, surat menyurat, iklan, modus operandi dan sebagainya. Sekarang nak buat program sendiri lebih ringkas dan mudah. Rancang dan terus laksanakan. Namun aku tidak menafikan kepentingan dalam merancang dan melaksanakan sesuatu program dengan mengikut prosuder sebelum ini kerana dengan cara inilah segala gerak kerja dapat dilaksanakan sebaiknya. Mungkin kerana kali ini, program hanyalah melibatkan kawan-kawan lama yang jumlahnya tidak ramai serta masing-masing mempunyai cara masing-masing dalam menguruskan perjalanan hidup, maka program hanya dapat disusun dengan ala kadar dan dalam masa yang singkat tapi masih mengekalkan hadaf utama iaitu untuk merapatkan ukhuwah islamiah antara kami semua, Perjalanan dari Dumyat ke Tanta menaiki keretaapi dan seterusnya ke Damanhur menaiki tremco memang amat memenatkan. Namun, segala keletihan dan kepenatan segera hilang dari diri sebaik sahaja dapat berkumpul bersama-sama bertanya khabar dan bercerita tentang kehidupan masing-masing di muhafazah sendiri serta merapatkan ukhuwah antara kami yang jarang dapat berkumpul bersama lebih-lebih lagi sebahagian besar dari kami akan pulang ke tanahair tidak lama lagi. Ya Allah, kuatkanlah ikatan persaudaraan antara kami dan tetapkanlah hati-hati kami dalam memperjuangkan agamaMu!

Pulang dari Damanhur terus sahaja ke menuju ke Kaherah tempat tinggal baruku yang bakal menjadi saksi cita-citaku selepas ini tercapai dengan redhaNya. Dumyat sekarang bukan lagi tempat aku bermukim dek kerana kepulanganku ke sana sudah tidak ada bagiku istilah rumah sewa sendiri, sebaliknya hanyalah rumah untuk menumpang atau perkataan yang bunyinya lebih keras ialah tempat untuk merempat sahaja..huhu..biasalah tu kehidupan seorang yang bergelar mahasiswa di Bumi Mesir ini yang ingin menadah ilmu, jangan berharap sentiasa nak hidup senang dan selesa. Kadang-kadang perlu ada cabaran dan dugaan barulah hidup akan menjadi lebih bermakna dan tidak memjadi sia-sia. Natijahnya, fatrah sekarang memang aku tidak mempunyai tempat tinggal yang betul-betul pasti lagi. Bulan puasa yang lebih dikenali sebagai Madrasah Ramdahan ini pasti lebih menguji mahasiswa sepertiku sekarang kerana terpaksa menghadapi bukan sahaja ujian dalam madrasah ini sahaja, malahan ujian dalam kehidupan sebagai mahasiswa tahun a
khir peringkat ijazah yang akan memulakan kehidupan baru selepas ini. Sama ada meneruskan pengajian di sini atau terus sahaja pulang ke tanahair untuk bekerja dan menanggung anak bini seta keluarga pula.

Sebaiknya kurasakan diri ini perlu menumpukan sepenuhnya perhatian kepada madrasah yang sedang dilalui sekarang ini agar ia menatijahkan sesuatu yang terbaik buat diri pada akhirnya. Bukan hanya memikirkan nasib diri yang pasti tidak akan memberikan apa-apa makna jika terus dilayan. Matlamat ujian yang akan ditempuhi ialah supaya menjadi seorang insan yang bertaqwa sepertimana yang telah disebut di dalam surah Al-Baqarah ayat ke 183:

ياأيها الذين أمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa"

Matlamat akan tercapai dengan baik andai tindakan yang sewajarnya diambil ketika ujian sedang berjalan. Matlamat ketaqwaan itu merupakan pangkat yang tertinggi bagi mereka yang berjaya menghadapi semua ujian dengan jayanya. Tanamkan azam dalam diri agar berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai tahap ini dengan memenuhi segala syarat-syaratnya dan meninggalkan segala larangan-larangannya.Ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan ini dapat diterjemahkan sebagai satu ibadah jasmani dan rohani. Ini kerana puasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga tetapi dari sudut rohani menahan nafsu dan menjaga peribadi diri selaras dengan tuntutan agama. Dengan melaksanakan Rukun Islam ini kita dijanjikan Allah dengan pengampunan dosa yang lalu. Hal itu jelas dalam sabda Rasulullah bermaksud:“Sesiapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Muttafaq ‘alaih).Begitulah tawaran istimewa yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya yang berpuasa di bulan Ramadan. Di dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud:“Semua amal anak-anak Adam untuk dirinya kecuali puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Aku yang memberi ganjaran atasnya.”

Jadi, sempena Ramadan tahun ini marilah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh menunaikannya sebagaimana dituntut agama. Hal itu semestinya meliputi segenap aspek kehidupan. Pada Ramadan inilah kita wajib bermuhasabah diri meneropong segala kelemahan diri dan dosa-dosa yang dilakukan pada bulan-bulan terdahulu, seterusnya menggilap semangat dan kekuatan hati untuk memantap iman. Ibadah puasa khususnya pada Ramadan jika ditinjau daripada perspektif ilmu kesihatan dan perubatan juga mengandungi hikmah yang tersendiri. Malah, pakar-pakar perubatan bukan Islam turut mengakui puasa adalah satu kaedah perubatan yang mujarab kepada sistem tubuh manusia. Antaranya Dr Mac Fadon dari Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan, puasa seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.Boleh dikatakan semua ahli perubatan di dunia ini menyatakan berpuasa menyihatkan tubuh badan manusia, malah kesihatan mental dan kekuatan rohani akan turut berganda dengan berpuasa.

Di India terdapat satu institut rawatan kesihatan yang melakukan promosi besar-besaran agar rakyat di negara itu mengamalkan puasa sebagai satu langkah pencegahan penyakit dan mengekalkan tahap kesihatan. Kajian sains perubatan mendapati berpuasa memainkan dua fungsi sekali gus iaitu sebagai kaedah perawatan ke atas penyakit dan sebagai langkah pencegahan. Hebat sungguh puasa ini dan kita sebagai umat Islam seharusnya menggunakan ruang dan peluang seluas-luasnya pada Ramadan untuk melaksanakan dengan penuh takwa kepada Allah. Satu kajian yang telah dilakukan oleh seorang pakar perubatan dari AS, Dr Alan Cott menyatakan puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Beliau juga melakukan satu uji kaji ke atas sekumpulan orang yang berpuasa dan satu kumpulan yang tidak berpuasa.Hasilnya menakjubkan kerana mereka yang rajin berpuasa itu memperoleh markah jauh lebih tinggi berbanding yang tidak berpuasa. Inilah bukti konkrit daripada segi sains moden bahawa puasa itu mengandungi seribu satu keajaiban.


Ingatlah kita mengenai pesanan Lukman al-Hakim kepada anaknya yang katanya:
“Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah daripada menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadat. Makan yang kenyang itu menegangkan urat perut dan mengendurkan urat mata.”
Maksud Lukman al-Hakim di sini ialah jika kita sentiasa kenyang, kesannya kita mudah mengantuk dan malas. Jadi, ibadah puasa bertepatan dengan amalan baik dari segi kesihatan manusia. Sabda Rasulullah bermaksud: “Berpuasalah kamu agar kamu menjadi sihat.” (Hadis riwayat Ibnu Sunni dan Abu Nu’aim daripada Abu Hurairah) .Apa yang penting sewaktu berpuasa ini kita hendaklah menjaga etika puasa itu. Jangan hanya setakat menahan lapar dan dahaga saja. Rasulullah bersabda; “Sesiapa berpuasa pada Ramadan dan mengetahui batas-batasnya (ketentuannya) serta memelihara perkara-perkara yang perlu dijaga, maka dihapus dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi ). Apa perkara yang perlu dijaga semasa berpuasa? Seluruh anggota badan kita seharusnya turut berpuasa. Demikian juga dengan hati kita. Contohnya menjaga lidah agar jangan sewenang-wenangnya menuturkan kata-kata keji atau mengumpat sedangkan pada waktu itu kita sedang berpuasa.

Jadi, apa maknanya kita berpuasa tetapi lidah kita laju mengeluarkan kata-kata keji atau mengumpat. Jawabnya, sia-sia ibadah puasa kita itu. Yang kita dapat hanyalah lapar dan dahaga tetapi kosong pahalanya.Ingatlah amaran Rasulullah melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga yang didapatinya.” (Hadis riwayat Bukhari). Oleh demikian berhati-hatilah kita semua dengan etika berpuasa itu agar kita tidak tercicir ganjaran besar pahala sebagaimana yang dijanjikan Allah. Allah mengarahkan kita supaya sentiasa bertutur kata yang baik dan sopan apatah lagi semasa kita sedang berpuasa Ramadan. Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 53 yang bermaksud: “Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sungguh syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka.”Sebaliknya dalam bulan Ramadan ini basahilah lidah dengan zikir dan bacaan al-Quran. Pada Ramadan yang penuh berkat ini, latihlah diri dan pimpinlah hati kita dengan jalur kehidupan yang dituntut oleh agama. Jika kita berpuasa dengan kaedah sebagaimana diperintahkan Allah, puasa itu adalah ibarat perisai daripada godaan syaitan, malah ibadah kita akan menjadi gerbang menuju ketakwaan.Oleh itu, jadikanlah Ramadan ini sebagai bulan memantapkan iman untuk meraih kecemerlangan dunia dan kebahagiaan di akhirat. Marhabban Ya Ramadan.
blogger-emoticon.blogspot.com
Bahan rujukan artikel:
-akal fikiran kurniaan Allah

-akhabar harian metro semalam(hikmah puasa menurut sains)

ETIKA DAN ADAB SEORANG BLOGGER

1. Memberi dan menyampaikan maklumat adalah kerja terpuji bagi membina dan membentuk minda para pembaca . Tetapi ianya mestilah dilakukan dengan penuh adab dan etika . Bertanggungjawab dengan tulisan dan amanah dalam meriwayat .

2. Ikhlas , jujur dan suci niat dalam apa jua bentuk tulisan justeru ia diperhati dan dinilai oleh Allah swt sekalipun serapat mana bilik komputer kita dikunci

3. Tulis dan riwayat perkara yang benar . Jangan berbohong atau berdusta . Menyembunyikan fakta sebenar dan menukilkan andaian yang penuh hasad dan dusta . Kerana dosa dan neraka juga boleh menerima seorang penulis blog sebagaimana pahala dan syurga juga boleh menerima mereka . Bergantung bagaimana mereka ber"blog" .

4. Berbahasa dan berbudi dalam tulisan tentunya menjadikan hasil karya kita lebih bermutu dan meyakinkan . Kebenaran akan ternoda dengan kalimah dan tulisan yang kesat atau celupar dan berbau fitnah .

5. Tulisan yang bertanggungjawab ialah yang diketahui siapa penulisnya . Penulis misteri hanya meletakkan tulisannya setaraf surat layang yang tidak memiliki kredebiliti untuk dipercayai dan diyakini .

6. Penulisan menggambarkan karektor penulis . Penampilan gaya dan cara penulisan yang tenang , ceria , jelas dan benar akan membawa pembaca merujuk kepada kehebatan peribadi penulis . Lantaran itu , menulislah dengan jiwa yang tenang dan nurani yang suci nescaya tulisan itu akan meresap dengan tenang ke segenap jiwa pembaca dan membawa ketenangan kepada semua .

7. Ramai penulis mutaakhir ini selain terjebak sebagai penulis upahan untuk menjuarai kepentingan tertentu , terdapat juga penulis picisan yang tidak punya matlamat dalam menulis kecuali menabur fitnah dan menyalakan api permusuhan . Mereka langsung tidak memiliki etika penulisan bahkan tiada juga adab dalam menulis .

8. Mereka menulis seolah - olah mereka bebas untuk berbuat apa sahaja tanpa memikirkan implikasi atau risiko yang bakal tercetus gara - gara tulisannya . Mereka hanya mementingkan diri sendiri untuk mencapai sebuah kepuasan yang tidak pasti benar atau salah . Penting bagi mereka ialah puas . Mereka tidak peduli kadang - kadang sahabat handai dan rakan taulan sendiri remuk rendam perasaan angkara tulisannya .

9. Hati - hatilah sahabat sekelian , dalam kita menulis di sana terdapat beberapa perkara yang perlu difikirkan secara mendalam sebelum kita publish sesuatu tulisan itu . Asasnya ialah bertanggungjawab terhadap tulisan tersebut dan ianya bertunjangkan kebenaran fakta dan nas .

10. Berjiwa besarlah justeru tulisan kita akan membentuk persepsi masyarakat terhadap apa jua isu yang kita bawa , jika tulisan yang kita paparkan adalah tulisan yang meyakinkan bukan menjengkelkan . Maka tulislah perkara yang baik nescaya kita akan dapat natijah yang baik .

Pun begitu , sabarlah ! terkadang tulisan yang baik dan benar ini akan diserang oleh musuh dan difitnah atau ditohmah kerana mereka tidak senang dengan kebenaran yang dibawa dan mereka cuba mengheret kita menjadi blogger seperti mereka yang penuh dengan hasad , fitnah , kata - kata kesat dan celupar serta sumpah seranah .

DIPETIK DARI BLOG : http://episodeperjuangan.blogspot.com/


Persiapan awal....

Apa yang perlu dilakukan sebelum memasuki sebuah sekolah/madrasah berasrama??! Pasti kita akan membuat satu persiapan yang rapi dan mantap agar dapat hadir ke sekolah tersebut dengan penuh yakin dan dapat menghabiskan tempoh pembelajaran tersebut dengan cemerlang dan gemilang. Pasti juga kita akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan segala persiapan kita itu tidak akan menjadi sia-sia dan tidak berguna pada akhirnya.Sebenarnya itulah realitinya yang berlaku pada diri kita sekarang sebagai seorang mukmin, kita perlu mempersiapkan diri kita dengan satu persiapan yang rapi dan mantap untuk menghadiri satu madrasah dan seterusnya menghadapi semua ujian dan imtihan di dalamnya. Madrasah tersebut dikenali sebagai 'MADRASAH RAMADHAN'. Pastinya jugalah memerlukan satu persiapan yang terbaik sebelum memasuki 'madrasah ' tersebut kerana di dalamnya terdapat pelbagai ujian dan imtihan yang amat mencabar fizikal dan mental setiap umat Islam di muka Bumi ini.

Separuh Sya'ban telah berlalu menandakan hanya tinggal lebih kurang 15 hari sahaja lagi untuk membuat persiapan untuk menghadapi 'madrasah ' tersebut. Alangkah rugi dan malangnya diri seandainya masih ada yang terlena dan terleka dari hakikat yang berlaku sekarang ini. Ayuhlah sahabat2 kita bangkit dan sedar kembali dari lena yang panjang, dari dibuai mimpi yang indah. Usahalah mempersiapkan diri mental dan fizikal dari sekarang agar menatijahkan sesuatu yang cemerlang dan gemilang pada akhirnya. Ingatlah, persiapan bukan pada permulaannya, tetapi pada 'sebelum' permulaanya kerana sekirannya persiapan hanya bermula pada permualaannya maka anda adalah orang yang sudah terlambat.

Cuba kita fikirkan seandainya kita tidak bersedia untuk menghadapi sebuah 'madrasah', apakah kita sanggup untuk menerima pentarbiyahan di dalamnya dengan baik? Pernah berlaku pada diri ini ketika baru ditaklifkan sebagai salah seorang ahli jawatankuasa tadbir DPMD suatu masa dahulu. Dek kerana kesibukan dengan tugas2 yang tak terfikir sebelum ini, maka 'madrasah Ramadhan' dihadapi dengan ala kadar sahaja sehingga menatijahkan satu ketidakpuasan hati pada akhirnya. Penyesalan yang tidak sudah melanda diri kerana berakhirnya Ramadhan tanpa memberi kesan yang besar walhal natijah sebuah 'madrasah Ramadhanlah' amat penting untuk membentuk diri kepada yang lebih baik.

Apa persiapan yang perlu untuk menghadapi ujian dan imtihan dalam 'madrasah' ini?? Banyak..antaranya ialah :

1) Berpuasa pada bulan Sya'ban
-Saidatina Aisyah Radiallahuanha pernah berkata :Tidak pernah Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam berpuasa lebih banyak dari bulan Sya'ban (kecuali bulan Rmadhan). Baginda telah bersabda: "Lakukanlah apa amalan yang temampu olehmu kerana Allah taala tidak pernah jemu sehingga kamu sendiri merasa jemu" (Riwayat Bukhari)
-Saidina Zaid Radiallahu Anhu berkata aku telah bertanya kepada Rasulullah: Ya Rasulullah aku tidak pernah menyaksikan seumpama puasamu di bulan Sya'ban di dalam bulan2 lain selain Ramadhan. Rasulullah bersabda: "Itulah bulan Sya'ban di mana manusia lalai mengenainya iaitu antara Rejab dan Ramdhan. Ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekelian alam. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa." (Riwayat Ahmad)

2) Mengerjakan solat sunat pada malam hari terutamanya malam nisfu Sya'ban
-Disunatkan mengerjakan solat2 sunat di dalam qiamullail/bangun malam seperti solat sunat tahajjud, solat sunat taubat dan lain2

3) Beristighfar, berselawat dan berzikir
- Kerana bulan Sya'ban adalah bulan yang sangat mulia di sisi Allah dan RasulNya serta bulan di mana amal ibadah kita diangkat dan dipersembahkan kepada Allah taala , makan wajarlah kiranya sepanjang bulan ini kita memperbanyakkan ibadah seperti beristighfar, berselawat ke atas Nabi , berzikir dan bertasbih.

4) Memperbanyakkan bersedekah dan membaca Al-Quran
- Daripada Anas bin Malik Radiallahu anhu mengatakan bahawa :sahabat2 Rasulullah apabila mereka melihat anak bulan Sya'ban mereka bersungguh2 dalam membaca Al-Quran

5) Memperbanyakkan doa
- Rasulullah sallallahu alaihi wassallam telah bersabda : "Ada lima malam yang tidak ditolak permintaan (doa) iaitu malam pertama bulan Rejab , malam nisfu Sya'ban, malam Jumaat, dua malam iaitu malam Hari Raya Aidilfitri dan malam Hari Raya Aidiladha".

Apa yang penting ialah keperluan untuk melengkapkan diri dengan persiapan awal dengan pelbagai persiapan yang telah disebutkan tadi untuk menghadapi 'madrasah' tersebut. 'Madrasah' yang pasti menguji mental dan fizikal setiap insan yang bergelar mukmin ini memerlukan sebuah pengorbanan. Apalah gunanya andai berlalunya sebuah madrasah pentarbiyahan tanpa sebuah pengorbanan!!! Semoga Allah Taala mengurniakan kita semua kesempatan untuk menghadapi pentarbiyahan tersebut dan memberi natijah yang terbaik untuk diri kita pada pengakhirannya... Allahumma ballighna Ramadhan!!!

Salam Terakhir....

Alangkah pilunya hati apabila berada di penghujung perjuangan di sebuah dewan perwakilan mahasiswa. Perasaan ini menjadi bercampur baur antara gembira, sedih dan pilu kerana terpaksa meninggalkan medan perjuangan yang sudah hampir 4 tahun dilalui dengan penuh cabaran dan suka duka sebuah perjuangan. Walaupun sudah maklum cabaran dan dugaan dalam perjuangan yang bakal ditempuhi kelak pasti lebih berat berbanding di sini, namun ia tetap merupakan satu perjuangan demi agama Islam tercinta. Semuanya akan menjadi satu kenangan indah yang tidak akan dilupakan sampai ke akhir hayat kerana sesungguhnya perjuangan di dalam 'madrasah exco' ini telah banyak mengajar diri yang kerdil ini erti pengorbanan, kesabaran, ketabahan dan erti sebuah persahabatan. Kenangan bersama sahabat-sahabat seperjuangan ini tidak ternilai rasanya dan sudah tentu mengundang linangan air mata andainya disingkap kembali pelbagai lipatan pahit manis bersama.

BERSAMA SAF KEPIMPINAN DPMD SESI 2006/2007

BERSAMA SAF KEPIMPINAN DPMD SESI 2007/2008
BERSAMA SAF KEPIMPINAN DPMD 2008/2009

Tanggal 1 Ogos 2009 menjadi saksi peralihan kepimpinan Dewan Perwakilan Mahasiswa Damietta 2008/2009 kepada saf kepimpinan yang baru bagi sesi 2009/2010 dalam mesyuarat agung tahunan DPMD yang ke-16. Alfun mabruk diucapkan kepada antum yang akan meneruskan mata rantai-mata rantai perjuangan ini kerana kita semua adalah penerus perjuangan bukan pemula atau pengakhir perjuangan di sini. Semoga Allah subhanahu wataala memberi taufiq dah hidayahNya kepada kita semua dalam meneruskan perjuangan menegakkan agama Allah ini. Jangan mudah berputus asa dan tetaplah tabah walau apa jua cabaran dan dugaan yang ditempuhi. Anggaplah 'madrasah exco' ini satu madrasah yang bakal mencorakkan diri kita untuk menghadapi satu perjuangan yang lebih besar dan hebat pada masa akan datang. Rancanglah sebaiknya jadual kehidupan sebagai seorang kepimpinan agar tidak menimbulkan fitnah duniawi pada diri sendiri kelak. Moga-moga kita semua tergolong di kalangan hambaNya yang berjaya dalam imtihan dunia dan akhirat. Yakinlah kita bahawa Allah subhanahu wataala akan membantu hamba-hambaNya yang ikhlas membantu agamaNya. Firman Allah dalam surah Muhammad ayat ke-7
يأيها الذين أمنوا ان تنصروا الله ينصركم ويثبت أقدامكم
BERSAMA AJK PELAKSANA MAT KE-16
SAAT-SAAT AKHIR DALAM KEPIMPINAN DPMD
SAF KEPIMPINAN BARU BAGI SESI 2009/2010 YANG AKAN DIKETUAI OLEH SAUDARA MOHD SHAIFUL KHAN BIN AHMAD

Akhir sekali ana ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli DPMD khususnya kepada sahabat-sahabat kepimpinan sendiri, sahabat-sahabat sebatch dan ahli bait yang banyak memberi dorongan dan semangat sepanjang ana di sini. Tanpa kalian di sisi, siapalah ana dan rasanya tidak mampu untuk ana meneruskan perjuangan dan taklifan yang amat berat dan tak terpikul selama ini. Firman Allah dalam surah al Hasyr ayat ke-21
لو أنزلنا هذا القران على جبل لرأيته خاشعا متصدعا من خشية الله

Begitulah perumpamaan yang ditunjukkan oleh Allah subhanahu wataala di dalam al-quran bahawa taklifan untuk membawa agama Allah ini adalah sesuatu yang amat berat dan besar sehinggakan gunung ganang yang nampak gah dan jitu berpaksikan Bumi pun tidak sanggup untuk menanggung semua itu. Oleh itu insan yang kerdil dan serba dhoif ini menadah tangan memohon keampunanMu ya Allah atas kekurangan, kelemahan dan kekhalalan yang ada sepanjang ditaklifkan dengan pelbagai taklifan di sini. Jutaan kemaafan juga dipohon dari seluruh ahli DPMD atas kesalahan dan kesilapan yang dilakukan selama ini. Doa kalian amat dipohon mengiringi diri ini agar thabat dalam perjuangan ini dan menjadi ulama' amilin suatu masa nanti bagi membawa masyarakat di tanahair ke jalan kebenaran menegakkan kalimah Lailahaillallah Muhammadurrasulullah....amin.....
PASTI GAMBAR-GAMBAR INI AKAN MENJADI ANTARA KENANGAN MANIS BERSAMA KELAK

 

©2009 ~ibnuahmad addumyati~ | by TNB