Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Ilahi kerana masih diberi ruang dan peluang untuk meneruskan madrasah ramadhan pada kali ini. Pejam celik pejam celik, rupanya hari ni dah masuk hari yang ke sepuluh umat Islam di seluruh dunia khususnya di bumi Mesir ni berpuasa. Rasa macam baru je semalam start puasa. Maknanya sedar ataupon tidak sebenarnya kita dah mula meninggalkan satu peringkat dari madrasah Ramadhan dan melangkah ke peringkat yang seterusnya. Berdasarkan sabda nabi Muhammad salalahu alaihi wassalam :
أوله الرحمة وأوسطه مغفرة وآخره عتق من النار
yang bermaksud: Permulaannya (bulan Ramadhan) adalah rahmat, pertengahannya pengampunan dan pengakhirannya merdeka dari api neraka.
Jelaslah kepada kita dalam hadis tersebut menyebut bahawa di dalam madrasah bulan Ramadhan yang penuh barakah ini terdapat 3 peringkat yang akan diperolehi oleh mereka yang betul-betul melaksanakan amal ibadah dengan penuh keimanan dan kesungguhan. 3 peringkat ini akan diperolehi secara berperingkat-peringkat mengikut tahap keimanan dan ketaqwaan kita. Maka perlu kepada kesungguhan dan istiqamah dalam melaksanakan ibadah untuk memperoleh pelepasan ketiga-tiga peringkat tersebut. Alangkah ruginya jika kita masih tidak merasakan akan berlalunya bulan Ramadhan sedikit demi sedikit tanpa amalan yang bisa membantu kita mencapai roh keimanan dalam diri.Bertepatan dengan 10 Ramadhan ini juga, merupakan hari kemerdekaan Malaysia yang ke 52 iaitu bersamaan 31 Ogos 2009. Mujurlah Sheikh Nuruddin ada menyebut dalam kelas tafaqquh fiddinnya semalam berkaitan perjuangan para pejuang kemerdekaan sekaligus menghadiahkan mereka sekalung alfatihah. Kalau tidak hampir terlupa ana akan tarikh keramat bagi rakyat Malaysia ini. Dengarnya sambutan hari kemerdekaan di tanahair akan berlangsung dalam kesederhanaan kerana bimbang penularan wabak H1N1 dan bertepatan pula dengan kehadiran bulan Ramdhan. Harapannya biarlah sambutan bersederhana sampai bila-bila pun tidak mengapa asalkan tidak timbul di sana pelbagai gejala sosial setiap kali menjelangnya ambang merdeka. Saban tahun kita akan diberitakan dengan pelbagai isu gejala sosial dan kes jenayah pada keesokan harinya. Rogol, mencuri, berzina, merempit, minum arak, berpesta sampai ke pagi dan sebagainya. Realitinya seribu satu kemaksiatan yang terkandung dalam malam yang kononnya penuh dengan semangat kemerdekaan dan patriotisme. Buktinya lihat sendirilah di tempat berlangsungnya majlis gilang gemilang itu akan dipenuhi dengan botol-botol arak, kondom-kondom dan puluhan mat rempit dan gadis-gadis yang ditahan oleh pihak berkuasa atas bermacam-macam kesalahan yang mereka lakukan. Rata-ratanya pastilah tidak lain tidak bukan adalah dari saudara seagama darah daging kita sendiri.
Apa ertinya kemerdekaan andai inilah realiti yang berlaku di tanahair saban tahun? Tidakkah kita pernah terfikir sampai bilakah akan berterusan kemaksiatan ini andai diri kita sendiri yang akan pulang ke bumi Malaysia tercinta berazam akan merubahnya. Oh, besar sungguh tanggungjawab yang akan tergalas di atas batang tubuh kita semua yang bergelar Azhari dan Azhariah. Ini kita baru berbicara berkaitan dengan sambutan kemerdekaan. Belum lagi berbicara berkaitan dengan jutaan kemaksiatan dan kelalaian yang lainnya yang pasti membuatkan kita mula tidak senang duduk. Bagi mereka yang tahu berfikirlah.Bagi mereka yang tidak mahu berfikir akan terus meneruskan kehidupan seperti biasa bahkan mungkin sahaja menempah tiket pulang ke Malaysia untuk duduk bersama-sama dengan mereka yang durjana itu ataupun memilih untuk menjadi syaitan bisu akhirnya.
Sudahnya kita akan tersepit dengan kalimah merdeka yang kadang-kadang kita sendiri pon tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan erti kemerdekaan. Apa eritnya merdeka kalau hukum hakam dan perintah Allah dan RasulNya ditolak mentah-mentah sedangkan hukum hakam penjajah masih diagung-agungkan. Apa ertinya kalau pemikiran kita masih terpalit dengan pemikiran penjajah sedangkan fikrah Islam langsung ditolak dan dinista semahunya. Apa ertinya merdeka kalau cara pemakaian kita sendiri tidak melambangkan sorang muslim yang merdeka sedangkan cara pemakaian dan cara hidup orang kafir masih menjadi ikutan siang dan malam. Teramatlah malang jika kita masih tidak dapat menghayati dan meneliti sirah perjalanan hidup Rasulullah seorang pejuang kemerdekaan yang paling agung di atas muka bumi ini. Baginda bukan sahaja memperjuangkan untuk penyebaran Islam semata-mata, bahkan tugas yang lebih berat ketika itu adalah untuk memperjuangkan kemerdekaan ummat manusia dari belenggu kejahilan dan penuh dengan hawa nafsu yang tidak berlandaskan yang hak. Terang lagi bersuluh segala macam bencana dan bala yang menimpa ummat manusia ketika ini berlaku kerana berlambaknya kemaksiatan dan kejahilan yang wujud tanpa ada rasa tanggungjawab dari kalangan Azhari sendiri.
Ayuhlah para Azhari! Jangan leka lagi dengan segala macam keindahan dan kebahagian duniawi semata. Jadikanlah madrasah Ramadhan ini tempat untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai bekalan rohani dan jasmani serta bersabarlah menghadapi segala macam mehnah dan tribulasi yang bakal menimpa. Bangkitlah segera untuk menyusun strategi dan penuhkan ilmu di dada agar pulangnya kita ke tanahair bukan hanya bergelar seorang Azhari, bahkan bergelar seorang pejuang kemerdekaan..merdeka dari semua kemaksiatan. Merdeka dari semua kemungkaran. Takbir!!! Allahu Akbar!!!
Sabda Nabi Sallalahu Alaihi Wassalam :
هو شهر الصبر والصبر ثوابه الجنة
maksudnya : (Bulan Ramadhan) ialah bulan kesabaran, dan ganjaran kesabaran ialah syurga.
maksudnya : (Bulan Ramadhan) ialah bulan kesabaran, dan ganjaran kesabaran ialah syurga.
0 comments:
Post a Comment