Penyakit-penyakit yang Ada Dalam Jiwa Manusia Dan Cara Mengubatinya Mengikut Cara Rasulullah
Penyakit yang biasa terdapat dalam jiwa manusia adalah seperti berikut :
1. Mensyirikkan Allah Subhanahu Wataala
2. Melakukan amalan yang berdosa kepada Allah Taala
3. Lalai terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan Allah kepada hamba yang Muslim
4. Menghina dan memandang kecil kepada orang yang dikasihi dan disokong Allah
5. Meninggalkan keputusan Allah Taala dalam kehidupan , sebaliknya mengambil keputusan yang lain
Dalam realiti kini, segala ketentuan dan ketetapan Allah dipandang tidak baik dan tidak diredhai oleh manusia . Manusia tidak memberi harga dan nilai kepada kehendak Allah . Manusia memandang sepi terhadap ketetapan Allah
Mungkin terdapat segelintir manusia daripada umat ini yang memandang berat, mulia, tinggi dan agung dengan keputusan Allah. Tetapi umumnya apabila dikemukakan keputusan Allah maka dirasakan menjatuhkan maruah seterusnya bersikap tidak mempedulikan dan tidak mengendahkan keputusan tersebut. Inilah penyakit jiwa.
6. Tidak merujuk kepada Allah, sebaliknya mengambil rujukan yang lain dalam permasalahan hidup meliputi bidang ilmu pengetahuan, sistem , peraturan dan sebagainya.
7. Tidak bergantung harap kepada Allah, sebaliknya bergantung harap kepada ilah selain Allah Taala
Apabila manusia tidak merujuk kepada Allah, maka sudah tentu tiada lagi pergantungan kepada Allah . Hakikat ini dinilai berasaskan praktik hidup manusia hari ini, meskipun dari segi dakwaan sememangnya mereka mengakui merujuk dan bergantung Allah. Inilah yang sedang nyata berlaku.
8. Mencurigai, syak dan sangsi kepada janji-janji dan ingatan-ingatan Allah
Allah memberitahu orang-orang beriman, bertaqwa dan beramal soleh akan dijanjikan syurga. Allah juga memberitahu orang-orang yang menentangNya akan janji azab neraka. Namun dalam pelaksanaan hidup manusia kini, ramai merasa syak dan sangsi terhadap janji-janji Allah. Jika manusia yakin akan janji-janji itu , sudah tentu realiti manusia berbeza daripada apa yang ada sekarang. Kini secara meluas manusia berasa curiga dan syak dengan janji-janji dan ingatan-ingatan Allah
Itulah perkara-perkara atau sebab-sebab yang membawa penyakit kepada jiwa manusia.
Ubat yang Mujarab
Tidak ada ubat bagi mengubati penyakit-penyakit itu melainkan ubat yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Janganlah berusaha mencari ubat-ubat yang lain. Tidak akan sembuh penyakit-penyakit itu melainkan dengan ubat yang telah digunakan oleh Baginda Sallallahu Alaihi Wassalam
Untuk mengubati sesuatu penyakit, perlu terlebih dahulu kita melihat jenis penyakit tersebut. Ubat yang mujarab ialah apa yang berlawanan dengan penyakit yang menyerang manusia.
1. Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah.
2. Jika penyakit itu ialah melakukan amalan berdosa, ubatnya ialah meninggalkan amalan itu dan bertaubat kepada Allah.
3. Jika penyakit itu ialah lalai dengan tanggungjawab yang diberikan Allah, ubatnya ialah menyedari akan tanggungjawab tersebut.
4. Jika penyakit itu ialah membenci dan memandang kecil terhadap perkara yang disukai Allah, ubatnya ialah perlu mengambil berat, suka , redha dan cinta terhadapnya.
5. Jika penyakit itu ialah merujuk kepada selain daripada Allah, ubatnya ialah kembali merujuk kepada Allah dalam semua hal kehidupan.
Manusia perlu faham dan sedar bahawa setiap detik kehidupan tidak boleh terlepas daripada keputusan Allah. Segala-galanya perlu dirujuk dan dikembalikan kepadaNya. Taubat akan menutup segala pintu kejahatan dan membuka pintu kebahagian serta kebaikan. Ini boleh dilakukan dengan cara beristighfar kepada Allah dan mentauhidkanNya. Sesiapa yang ingin menyihatkan jiwa dan hati maka hendaklah dia meninggalkan segala dosa.
Abdullah bin Mubarak berkata :
"Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa".
Realiti Kini
Beralih kepada realiti hari ini, manusia secara umumnya mendurhakai syara'. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi suatu kelazatan.
Hawa nafsu menjadi ganas. Jiwa manusia lebih cenderung kepada kejahilan dan kezaliman. Sifat fujur mengatasi sifat taqwa. Jiwa semakin sukar untuk menerima nasihat atau ubat. Jiwa masyarakat berasa cukup gelisah apabila mendengar berkaitan perkara syara' lalu dipandang sepi, hina dan serong. Lebih tenat lagi apabila jiwa menolak ubat dan sukakan penyakit.
Penyakit mencerca Allah berlaku dalam masyarakat. Cercaan ini berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada secara tersirat dan tersurat. Contohnya, Allah menurunkan hujan. Terdapat manusia mencerca Allah dengan cara berusaha mengahalang hujan dengan alasan atau dengan tujuan menjayakan malam amal atau majlis-majlis tertentu. Walaupun Allah mengizinkan hujan berhenti tetapi itu adalah al Istidraj.
6. Jika penyakit itu ialah memandang kecil dan hina terhadap nilai-nilai Allah, ubatnya ialah kembali menilai dengan tinggi, agung dan baik akan nilai-nilai Allah. Manusia harus diberi kefahaman sebenar terhadap nilai-nilai Allah dan ditarbiyah. Dengan cara ini barulah penyakit tersebut dapat sembuh.
Keseluruhan cara pengubatan di atas dipanggil cara pengubatan Rasulullah terhadap penyakit-penyakit jiwa. Sesungguhnya kalau kita betul-betul melihat dan meneliti manusia di sekeliling kita sekarang begitu ramai sekali mereka yang sedang menghidap sakit jiwa!!! Atau mungkinkah kita juga turut sama menghidap penyakit ini??!
Miss Naysmith - Gelandangan Bermaruah.
9 years ago
1 comments:
Salam alaik..Sirru'ala barakatillah..Kullu sanah wa antum bikhair...Teruskan Berdakwah, Teruskan Perjuagan! Salam ukhuwah fillah abadan abadaa...
Post a Comment